Kami bertolak dari Wisma Darulaman pada pukul 4 petang dengan tenaga sukarelawan 17 orang yang diketuai oleh Supol MB Kedah, Dato Azimi Daim. Meniti perjalanan melalui lebuhraya Utara Selatan kemudian menghala keluar ke Kuala Ketil untuk menuju ke Grik.
Berbekalkan dengan barang bantuan dan kelengkapan bersih banjir, konvoi ini berhenti berehat, bermalam di Tasik Banding, mengumpul tenaga, kerana keesokan harinya kami perlu memulakan perjalanan jauh ke Manik Urai, Kelantan.
Perjalanan 7 buah 4wd bermula dengan melalui jalan berbukit di Grik, bertemu dengan tanah runtuh, disepanjang jalan perjalanan dan kerosakan infra akibat hujan lebat.
Kemudian kami melalui parlimen Jeli, singgah sebentar mengisi minyak, untuk teruskan perjalanan ke lokasi yang dituju. Konvoi bergerak dalam keadaan berjaga-jaga sambil berselisih dengan pasukan bantuan yang lain semasa di Dabong.
Kami juga melalui jalan yang pernah dinaiki air semasa banjir, malah ada kawasan pernah ditengelami sedalam 6 meter, mengikut perkiraan selut yang ada dipokok dan bangunan sekitarnya.
Perjalanan diteruskan ke Laloh bagi menuju ke Kampung Karangan, Manik Urai, dalam keadaan hujan lebat dan jalan agak sedikit licin. Ternyata konvoi bantuan mendapat reaksi baik dari orang tempatan apabila konvoi kami disambut dengan senyuman dan lambaian tangan, tak terkecuali ada juga yang mengambil gambar.
Perjalanan ke lokasi masih jauh lebih kurang 36KM dan mata kami sibuk memerhati sekeliling untuk menikmati alam semulajadi dan kesan dari bencana banjir yang paling hebat berlaku di negara kita.
Bila tiba saja disimpang masuk ke Kampung Karangan, pada pukul 11.30 pagi, kami disambut dengan runtuhan rumah, sampah yang bersepah, pokok-pokok mati akibat ditengelami air terlalu lama dan paling menyedihkan melihat keadaan kampung yang jelas kelihatan ditimpa bencana besar.
Tidak pernah kita lihat banjir besar di Malaysia mampu mengubah sebuah rumah ke posisi lain, malah kebanyakan rumah setingkat ditumbangkan seolah ditolak arus tsunami.
Melihat penduduk kampung, ada yang sibuk membersihkan rumah, ada yang hanya termenung dihadapan rumah, kerana rumah susah hancur musnah, tak kurang juga ada yang membina khemah diatas tapak rumah bagi menjadi tempat perlindungan sementara mereka.
Keadaan amat menyedihkan.
Konvoi kami tiba di Sekolah Kebangsaan Karangan dan kami bertemu dengan konvoi lain dari Kedah yang sampai lebih awal, malah mereka sudah memulakan kerja pembersihan pada bangunan sekolah.
Konvoi kami turun untuk melihat keadaan sekolah SK Karangan yang disaluti lumpur tebal.
Kemudian kami mula menurunkan barangan bantuan banjir, membersihkan kawasan sekolah dan mengambil maklumat kawasan untuk tindakan seterusnya.
Lebih kurang pukul 12.30 tengahari kedatangan YAB MB Kedah, Dato Seri Hj Mukhriz Mahathir ke sekolah berkenaan. Beliau melihat keadaan sekeliling kampung, bersolat Jumaat bersama kariah disana. Kemudian beliau ke lokasi kem Kedah untuk berucap, malah beliau berjanji untuk tubuhkan "Base Camp" Kedah dan membuat perumahan sementara untuk penduduk yang rumah mereka musnah akibat banjir.
Selepas semua barang bantuan diturunkan dan tugasan yang lain pun selesai. Konvoi kami bersiap untuk pulang ke Kedah bagi membuat persediaan kali kedua yang mungkin lebih besar dan tinggal lebih lama dalam misi bantuan banjir bagi merealisasikan kenyataan MB Kedah yang nekad untuk membantu penduduk di kampung Karangan.
Selesai kerja yang telah diamanahkan, konvoi kami bergerak pulang ke Kedah.
Jumaat 9 Januari 2015
0 comments:
Post a Comment