Latest News

Sunday 15 February 2015

Datuk Bandar Alor Setar Diminta Beri Laporan Penuh Kenaikan Kadar Lesen




Kerajaan negeri Kedah akan meminta laporan penuh daripada Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad berhubung keputusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menaikkan kadar lesen penjaja statik dan beberapa caj perniagaan di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Badrol Hisham Hashim berkata pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai kenaikan kadar baharu itu oleh MBAS.

"Apa juga keputusan oleh Datuk Bandar mestilah mendapat keputusan konsensus daripada mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan. Jika didapati Datuk Bandar membuat keputusan tanpa dimasukkan dalam mesyuarat penuh, ini kita kena perbetulkan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran gotong royong sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini, Badrol Hisham berkata setiap keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan mestilah secara kolektif.

Baru-baru ini, anggota Unit Pembangunan Penjaja MBAS Mohd Kholib Hamid meminta supaya dipertimbangkan semula kadar baharu lesen penjaja statik kerana ia membebankan peniaga.

Selepas itu, seorang lagi anggota MBAS Datuk Ir Muhd Guntor Mansor Tobeng meminta MBAS mengkaji semula kadar kenaikan baharu lesen iklan yang didakwa terlalu mendadak sehingga tiga kali ganda lebih mahal.

Badrol Hisham turut menasihatkan Mat Noh dan anggota majlis MBAS supaya berbincang mengikut saluran betul bagi memastikan tiada percanggahan pendapat berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan mempergiat usaha pemeliharaan bangunan warisan di kawasan Pekan Cina dan Pekan Melayu di bandar raya ini.

"Kita cadang mana-mana bangunan ada unsur warisan, kita kekalkan sebagai rangsangan kepada pelancong untuk hadir," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Datuk Bandar Alor Setar Diminta Beri Laporan Penuh Kenaikan Kadar Lesen Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top