Latest News

Monday 20 April 2015

IMT-GT Perlu Diberi nafas Baru Untuk Rancakkan Pembangunan - DPMM Kedah


Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) terutamanya antara Kedah dengan daerah-daerah di selatan Thailand memerlukan "nafas baru" untuk merancakkan lagi pembangunannya.

Yang Di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah (DPMMK) Ir. Ahmad Fitri Othman mencadangkan IMT-GT dijadikan sebahagian daripada matlamat penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada tahun ini.

"DPMM Kedah berpendapat sekiranya IMT-GT diterima sebagai sebahagian daripada AEC, ia akan merancakkan lagi pembangunannya terutamanya antara Kedah dengan daerah-daerah di selatan Thailand.

"Potensi bagi ahli-ahli perniagaan di Kedah dan selatan Thailand di bawah IMT-GT adalah sangat besar, tetapi malangnya tidak banyak kejayaan yang dicapai sehingga hari ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ahmad Fitri berkata bilangan penduduk yang besar di selatan Thailand sepatutnya menjadi tarikan utama kepada ahli perniagaan Kedah untuk menjalin kerjasama dengan rakan sejawatan mereka di seberang sempadan di bawah konsep IMT-GT.

Bandar Hatyai sahaja, katanya, memiliki 4 juta penduduk dan ia merupakan contoh terbaik pasaran pengguna yang besar untuk diambil peluang oleh para peniaga di kawasan utara tanah air terutamanya Kedah.

Selatan Thailand bukan sahaja menyediakan pasaran pengguna yang besar kepada ahli perniagaan Kedah, tetapi penduduknya juga mempunyai budaya, bahasa dan agama yang sama, meningkatkan lagi peluang untuk menembusi pasaran itu, katanya.

Beliau berharap dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, ia bakal merancakkan lagi pembangunan IMT-GT menerusi pengenalan inisiatif-inisiatif berkesan ke arah kejayaannya.

"Saya berharap dengan Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, pembangunan di IMT-GT terutamanya Kedah dengan selatan Thailand akan mendapat lebih perhatian," katanya.

Menurut Ahmad Fitri, pembangunan dan kerjasama antara sektor swasta di ketiga-tiga negara di rantau itu perlu bergerak ke hadapan dan bukan sekadar hanya terlibat di dalam pameran dan ekspo.

Menurutnya, sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kedah dan selatan Thailand perlu diberikan peranan sebagai pemacu pembangunan IMT-GT, selari dengan potensi besar kawasan pertumbuhan itu kepada industri tersebut.

"Kejayaan IMT-GT sebenarnya terletak di atas bahu pemain-pemain sektor IKS dan bukan sekadar projek di antara kerajaan dengan kerajaan. Integrasi ekonomi di bawah IMT-GT bermula dengan IKS," katanya.

Beliau berkata antara industri yang memberikan potensi besar kepada ahli perniagaan di Kedah termasuklah industri barangan halal, makanan dan minuman serta pelancongan.

Selain itu, katanya, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim yang bernilai RM1.6 bilion sekiranya diluluskan juga bakal merancakkan kerjasama dan pembangunan sektor swasta di rantau tersebut.

Ini kerana pemain-pemain industri, sama ada di Kedah atau selatan Thailand akan lebih dekat dengan kemudahan lapangan terbang kargo bagi memudahkan eksport pelbagai produk keluaran negara, katanya.

"Ia (Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim) akan mendekatkan pengeluar sama ada di Kedah, utara tanah air atau selatan Thailand dengan pasaran-pasaran mereka," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: IMT-GT Perlu Diberi nafas Baru Untuk Rancakkan Pembangunan - DPMM Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top