Latest News

Monday 20 April 2015

Umno Yakin Dapat Majoriti Lebih Besar



Umno yakin BN dapat memperoleh majoriti undi yang lebih besar pada PRK kerusi Parlimen Rompin pada 5 Mei ini sekiranya dapat menangkis pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dengan sebaik mungkin.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, BN mampu memperjelaskan sebarang isu atau tohmahan yang dilontarkan oleh pakatan pembangkang melalui media sosial.

Justeru, katanya, Umno khususnya perlu memperhebat usaha menangkis dakyah yang dilemparkan oleh pembangkang melalui Facebook, 'WhatsApp' dan SMS.

"Kita perlu bersedia dengan maklumat yang sahih terlebih dahulu bagi menangkis dakyah pembangkang untuk meraih simpati pengundi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Jom Daftar Pemuda' di Bangunan Umno Perak, di sini hari ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Allahyarham menjadi ahli Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas bermula pada 1990 dan pada pilihan raya umum 2013, beliau menewaskan bekas Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Pada PRK Parlimen Rompin, Umno telah mencalonkan Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calon BN.

Hari penamaan calon ialah pada Rabu ini.

Pada majlis itu, sebanyak 3,397 anggota Pemuda Umno daripada 24 bahagian mendaftar sebagai pengundi.

"Kita mengalu-alukan usaha ini dalam menghadapi PRU yang akan datang," kata Mohd Shafie.

Selain itu, beliau berkata Umno perlu berusaha menambat semula hati pengundi yang telah beralih arah dan menyokong kembali parti itu. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Umno Yakin Dapat Majoriti Lebih Besar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top