Latest News

Wednesday 15 April 2015

Kedah Lonjak Ke Tangga Keempat Liga Perdana



Jaringan penghujung babak perlawanan oleh Muhammad Farhan Roslan membantu pasukan Kedah melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, malam ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kedah melonjak tiga anak tangga untuk berada di kedudukan keempat carta Liga Perdana dengan kutipan 12 mata selepas tujuh perlawanan.

Pada perlawanan itu, penyerang import dari Nigeria, Chidi Edeh meletakkan skuad 'Helang Merah' di depan seawal minit keempat perlawanan sebelum Leandro Sebastian Velazquez menyamakan kedudukan untuk JDT II pada minit ke-87.

Muhammad Farhan bagaimanapun muncul wira pasukan Kedah selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 untuk membolehkan mereka membawa pulang tiga mata.

Dalam pada itu, perlawanan antara Negeri Sembilan yang dikenali NS Matrix musim ini dan Pulau Pinang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terpaksa ditunda ke tarikh baharu berikutan keadaan cuaca buruk.

Komisionar perlawanan E.Genapathy berkata perlawanan itu tidak selamat untuk dijalankan disebabkan hujan dan petir serta padang yang dipenuhi air.

Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menentukan tarikh baharu untuk perlawanan berkenaan.

Dua perlawanan tersebut diadakan hari ini memandangkan Pulau Pinang dan JDT II terlibat dalam saingan suku akhir pertama Piala FA pada 7 April lepas.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Lonjak Ke Tangga Keempat Liga Perdana Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top