Latest News

Wednesday 8 April 2015

Usul Penambahbaikan Gaji Dan Elaun Adun Kedah



Adun Barisan Nasional dan Pembangkang telah menyokong dan bersetuju usul penambahbaikan gaji dan elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebanyak 50 peratus dan Menteri Besar sebanyak 25 peratus semasa Sidang Dun semalam.

Usul itu turut termasuk kenaikan pencen kira-kira 51 bekas ADUN, bekas menteri besar, bekas speaker DUN, bekas timbalan speaker DUN dan bekas Exco.

Menteri Besar Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir ketika menggulung perbahasan pada sidang DUN, berkata usul tersebut akan dibawa kepada pengerusi dan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk diperkenankan dan akan dibawa semula ke persidangan DUN akan datang.

Beliau berkata beberapa cadangan penambahbaikan elaun yang dibahaskan oleh ADUN seperti kenaikan gaji lebih daripada 50 peratus, pembayaran kenaikan elaun lebih awal, pinjaman kereta dan rumah juga akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama jawatankuasa kerajaan negeri.

"Kami akan perhalusi dan buat perbandingan dengan negeri-negeri lain kerana keperluan kewangan wakil rakyat pada hari ini semakin meningkat. Ada dalam kalangan ADUN yang minta awalkan pembayaran kenaikan gaji kepada Januari 2015, kami akan pertimbangkan," katanya.

Mengikut usul itu, gaji ADUN dicadang dinaikkan sebanyak 50 peratus daripada RM4,112 sebulan yang dinikmati ketika ini kepada RM6,169 sebulan manakala gaji menteri besar dinaikkan kepada RM17,718 sebulan daripada RM14,175 sebulan ketika ini.

Gaji Speaker DUN Kedah dicadang dinaikkan kepada RM9,163 sebulan daripada RM6,092, Timbalan Speaker (RM3,993 kepada RM5,989), anggota Exco (RM6,109 kepada RM9,163).
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Usul Penambahbaikan Gaji Dan Elaun Adun Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top