Latest News

Sunday 24 May 2015

Adu Jaik Jika Dihalang Solat Jumaat - Exco



Mana-mana premis perniagaan yang menghalang pekerja lelaki beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat akan dikenakan tindakan undang-undang.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit kerana ia merupakan satu kesalahan besar.

“Orang ramai perlu membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) sekiranya terdapat syarikat atau premis perniagaan yang menegah pekerjanya daripada menunaikan solat Jumaat.

“Hal ini kerana menjadi hak orang Islam menunaikan solat Jumaat dan menjadi kesalahan sekiranya mereka menghalang untuk berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam perkara itu adalah amat diharapkan dan maklumat pengadu akan dirahsiakan.

“Kita akan buat siasatan terperinci selepas menerima aduan orang ramai atau pekerja itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin supaya premis perniagaan di negeri ini ditutup selama dua jam pada waktu solat Jumaat, beliau menyambut baik hasrat itu.

“Cadangan itu bagus, mungkin kita boleh bawa ke mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah (Maik) dan Jaik.

“Tentang menahan individu tidak menunaikan solat Jumaat memang sudah lama terdapat dalam peruntukan undang-undang, cuma sedikit masalah dari segi penguatkuasaan sebelum ini,” katanya.



Terdahulu, Shaiful Hazizy mencadangkan supaya Kedah membuat persediaan rapi sebelum menguatkuasakan tindakan saman kepada mana-mana lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, bermula 1 Jun depan.

Menurutnya, arahan mewajibkan semua premis ditutup selama dua jam pada waktu solat Jumaat adalah wajar dilaksanakan terlebih dahulu.

Pada 11 Mei lalu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaik, Syeikh Ahmad Faisol Omar mengumumkan lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan itu, Jaik tidak melakukan tangkapan, sebaliknya mengeluarkan notis saman atau hadir ke pejabat agama daerah untuk disoal siasat.

sumber Sinar Online 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Adu Jaik Jika Dihalang Solat Jumaat - Exco Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top