Latest News

Monday 25 May 2015

Apa Itu Fatwa?




Definisi Fatwa

Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.

Dari Segi Istilah

Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:

Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.

Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.

Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;

Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;

Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan

Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.


Soalan-Soalan Lazim

S: Apakah nama sebenar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
J: Nama sebenar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau ringkasnya disebut Jawatankuasa Fatwa MKI dan sering disebut sebagai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

S: Bilakah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan?
J: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan pada awal tahun 1970 di bawah Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

S: Apakah tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
J: Tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah menimbang, memutus dan mengeluar fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa akan mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkanya bersama-sama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.

S: Apakah Status Keputusan Fatwa Kebangsaan?
J: Dari sudut pentadbiran undang-undang, hukum/fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang. Ia bersifat pandangan hukum/fatwa dalam sesuatu isu yang melibatkan kepentingan seluruh umat Islam. Walaubagaimanapun, dari sudut syarak, ia sudah menjadi hukum/fatwa yang perlu dipatuhi, cuma dari sudut teknikal undang-undang ia tidak mengikat (binding) selagi tidak diwartakan oleh pihak berkuasa negeri kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa perkara Agama terletak di bawah bidang kuasa negeri. Semua keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Fatwa Negeri untuk difatwa dan diwartakan.

S: Berapa ramai Mufti di seluruh Malaysia.
J: Jumlah Mufti di Malaysia ialah seramai 14 orang iaitu setiap negeri mempunyai seorang Mufti.

S: Berapa kali Jawatankuasa Fatwa MKI bermuzakarah setahun?
J: Mengikut perancangan, Jawatankuasa Fatwa MKI dijadualkan bermuzakarah sebanyak 6 kali setahun ATAU mengikut keperluan dan isu-isu berbangkit.

S: Bagaimana proses Jawatankuasa Fatwa MKI mengeluarkan pandangan hukum/fatwa?
J: Jawatankuasa Fatwa MKI dalam mengeluarkan sesuatu pandangan hukum/fatwa terhadap sesuatu isu itu adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan yang mendalam. Sesuatu pandangan hukum/fatwa itu hanya akan diputuskan setelah Jawatankuasa berpuashati mengenainya. Pandangan hukum/fatwa adalah keputusan yang dicapai secara bersama oleh Mufti-Mufti seluruh Malaysia yang menganggotai Jawatankuasa berkenaan.

S: Apakah e-Fatwa?
J: e-Fatwa ialah satu laman web yang memuatkan keputusan/ pandangan hukum Jawatankuasa Fatwa MKI dan Fatwa Negeri-Negeri sama ada yang diwartakan atau tidak diwartakan serta maklumat berkaitan dengan program/ aktiviti Institusi Fatwa di negara ini. e-Fatwa boleh diakses melalui alamat URL http://www.e-fatwa.gov.my ATAU melalui Laman Web JAKIM ATAU laman-laman web Jabatan-Jabatan Mufti di seluruh Malaysia.


sumber Majlis Fatwa Kebangsaan 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Apa Itu Fatwa? Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top