Latest News

Friday 14 August 2015

Operasi Sukan Luncur Udara Di Gunung Jerai Ditutup Sementara - Exco Kedah


Kerajaan negeri menutup operasi sukan luncur udara di Gunung Jerai, buat sementara waktu sehingga laporan mengenai kemalangan udara yang mengorbankan dua orang paraglider dalam insiden Ahad lepas, selesai dijalankan.

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri Datuk Badrul Hisham Hashim berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Exco semalam dan laporan penuh akan dikemukakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah serta Kelab Luncur Udara Kedah dan Perlis.

Badrul Hisham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang berkata operasi sukan luncur udara itu akan dibuka semula selepas laporan berhubung kejadian itu selesai dalam tempoh sebulan.

Katanya dalam tempoh berkenaan, pihaknya akan merangka beberapa syarat yang perlu dipatuhi selepas ini bagi memastikan keselamatan penggemar sukan lasak itu terjamin.

"Selepas ini, lokasi itu akan dipertanggungjawabkan kepada agensi kerajaan di mana penggemar sukan lasak akan mendapatkan maklumat seperti keadaan cuaca sebelum meluncur ke udara," katanya di sini Khamis.

Badrul Hisham berkata kerajaan negeri komited untuk meneruskan sukan lasak tersebut di Gunung Jerai yang menawarkan pemandangan indah dari udara.

Katanya kawasan luncur udara itu milik Jabatan Perhutanan Negeri Kedah tetapi diuruskan Majlis Daerah Yan (MDY) dan Kelab Luncur Udara Jerai khusus bagi sukan lasak berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira 12 tengah hari Ahad lepas, dua orang paraglider maut selepas payung terjun mereka tersangkut pada pokok di tebing curam ketika melakukan luncur udara.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Hazlan Ismail, 32, dan Liang Chong Kee, 52.

Mohd Hazlan yang merupakan anggota polis di Balai Polis Simpang Empat, Perlis adalah tenaga pengajar paragliding di Kelab Luncur Udara Indra Kayangan manakala Liang merupakan sub kontraktor syarikat swasta.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Operasi Sukan Luncur Udara Di Gunung Jerai Ditutup Sementara - Exco Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top