Latest News

Friday 26 February 2016

Terkini : Gugur Muhyiddin Maka Terkubur Nilai Dan Prinsip Kekuatan Umno - Mukhriz


KENYATAAN MEDIA

Seperti yang dijangka, ura-ura Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin digugurkan dari jawatan Timbalan Presiden UMNO, atau dibuang terus dari parti mungkin akan menjadi kenyataan. Kebelakangan ini tidak mustahil desas desus seperti itu disebarkan oleh penggerak propaganda Presiden sendiri untuk melihat reaksi ahli-ahli UMNO dan masyarakat umum.

 ​Jika benar tindakan ini bakal dipersetujui di mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 26 Februari 2016, maka umpama ungkapan Bahasa Inggeris, ianya merupakan "the final nail in UMNO's coffin". Terkuburlah nilai dan prinsip yang menjadi tunggak kekuatan UMNO selama ini.

Seorang Timbalan Presiden bukan hanya bertanggungjawab semata-mata untuk membantu Presiden. Beliau juga mesti dipilih atas kebolehan untuk mengganti atau mengambil alih peranan Presiden di dalam keadaan yang memaksa. Perlu diingat bahawa seseorang dipilih oleh ahli-ahli UMNO sebagai Timbalan Presiden kerana umum melihat beliau sebagai layak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Meskipun jawatan itu tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun lazimnya Timbalan Presiden UMNO juga menyandang jawatan pemimpin Nombor Dua dalam Kerajaan Persekutuan.

Maka apabila Dato’ Seri Mohd Najib Razak menggugurkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri, ianya menghampakan sebilangan besar Rakyat. Johor, contohnya, tidak hanya kehilangan seorang anak Johor sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi juga potensi untuk anak Johor itu dinaikkan ke pangkat Perdana Menteri. Semua itu hilang apabila Dato' Seri Mohd Najib mengambil tindakan tersebut.

Apa jua alasannya, seseorang pemimpin yang menang jawatan parti melalui pemilihan tidak boleh digugurkan dari jawatan itu dengan sewenang-wenangnya. Dakwaan bahawa Timbalan Presiden tidak membantu Presiden, malah mengkritik Presiden, dan ini cukup sebagai alasan untuk diambil tindakan, tidak boleh diterima sama sekali. Perlembagaan UMNO tidak menghalang ahli atau pemimpin mempersoalkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Rakyat. Malah, ianya adalah tunjang kepada perkhidmatan kepada Rakyat yang diwakili. Maka, tindakan mempersoalkan isu besar untuk diperhalusi secara bersama tidak boleh dianggap salah.

Seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal, tiada tindakan diambil ke atas pesaing-pesaing dan pengkritik-pengkritik Ayahanda Tun Mahathir Mohamad ketika beliau dicabar dalam pemilihan parti. Malah, pada pemilihan UMNO 1987, Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Presiden tetap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita. Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin dihalang dari merasmikan Perhimpunan ketiga-tiga sayap baru-baru ini, lantas menutup saluran untuk bersuara.

Kalau sifat sayangkan negara dilihat tidak konsisten dengan sifat sayangkan UMNO seolah-olah ianya "zero-sum game", maka saya bimbang akan masa depan parti ini. Mana mungkin sebuah parti politik (lebih-lebih lagi yang telah berkuasa sejak Merdeka) mampu kekal relevan jika Rakyat melihat ianya tidak lagi membawa kebaikan kepada negara, sebaliknya membawa kemudaratan yang berpanjangan?

Skandal demi skandal yang membabitkan PM yang juga merupakan Presiden UMNO tidak diambil sebarang tindakan yang boleh meyakinkan Rakyat, walhal selama ini Malaysia dikenali sebagai negara yang sangat menghormati dan mempertahankan keluhuran undang-undang. Sambil Rakyat semakin cemas dengan keadaan ini, UMNO seumpama mengiakan semua alasan-alasan tidak munasabah yang diluahkan bagi menjawab persoalan membabit 1MDB, RM2.6 bilion, SRC/KWAP dan segala tindakan-tindakan untuk menggagalkan siasatan pelbagai agensi Kerajaan yang memegang amanah.

Malah Presiden menyatakan bahawa "derma" RM2.6 bilion dari Putera DiRaja Arab Saudi itu bertujuan untuk UMNO! Maka tanpa kita sedari, kita ahli-ahli UMNO juga terpalit dengan "derma" ini. Tiadakah langsung perasaan cemas di kalangan kita bahawa ini sesuatu yang merendahkan moral dan integriti kita di kacamata Rakyat?

Sebilangan pemimpin tertinggi UMNO, tanpa menyuluh diri sendiri dan tanpa segan silu acapkali menempelak dan memperlekehkan teguran pemimpin akar umbi. Teguran-teguran ini dianggap sebagai cubaan memecahbelahkan kekuatan parti. Hakikatnya, gerombolan pemimpin kaki ampu inilah sebenarnya merupakan pengemudi yang sedang membawa haluan UMNO tersasar dari perjuangan asal dalam membela dan mempertahankan kepentingan Rakyat.

​Sambil saya berharap Majlis Tertinggi UMNO tidak akan mengambil tindakan yang menjelekkan terhadap Tan Sri Muhyiddin, saya tidak menaruh harapan tinggi Majlis Tertinggi akan buat apa yang terbaik untuk UMNO. Ini kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa ahli Majlis Tertinggi kebelakangan ini yang lebih bersifat mengampu Presiden dan menghalalkan kebathilan. Sudah pasti beberapa ahli Majlis Tertinggi yang sudah lama mencetuskan gerakan ini akan cuba sedaya upaya menjadikan usaha mereka satu realiti. Saya percaya sebilangan mereka bakal menjadi 'pendakwa-pendakwa' yang juga ingin membuktikan jasa dan peranan dalam mempertahankan Presiden.

Sebagai ahli UMNO, kita perlu sedar bahawa tingkah-laku pemimpin-pemimpin kita dilihat dan dinilai oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk orang muda. Sedarkah kita bahawa rata-rata orang muda meluahkan perasaan meluat dan menyampah dengan UMNO akibat angkara pemimpin tertinggi parti?

​Jika Tan Sri Muhyiddin dianiaya, saya percaya ramai ahli dan orang UMNO akan meninggalkan parti, apatah lagi yang berada di atas pagar tetapi tetap menyokong UMNO selama ini. Inilah amaran yang disampaikan oleh begitu ramai orang Melayu kepada saya.

Allah selamatkan UMNO.

Allah selamatkan Malaysia.

YB Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir
ADUN Ayer Hitam

26 Februari 2016
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

2 comments:

  1. Gugurkan PM RM2.6 Billion dan Baruah2/pengampu2 nya...

    Tindakkan yang paling sesuai!!!!

    ReplyDelete
  2. Ramai yang dahulu pun digurukan oleh Manatan Pressiden parti selama 22 tahun memerintah UMNO mahu pun jawatan dalam parti atau pun kerajaan. Namun UMNO tidak pernah kubur pun. Zaman tak ada whatsap banyak lagi benda yang rakyat tidak ketahui sepanjang 23 tahun yang lalu. Hentikanlah kenyataan yang cuba mengertak rakyat atau menakut-nakutkan. Pemimpin datang dan pergi. UMNO bukan milik parti keluarga atau pun individu. Teruskan perjuangan Parti UMNO. Dasar Ekonomi pun bukan untuk satu keluarga sahaja. Berikan ruang kepada Najib untuk memerintah negara. Kalau dah tidak sehaluan dengan nakhoda carilah kapal lain untuk perjalan seterusnya.

    ReplyDelete

Item Reviewed: Terkini : Gugur Muhyiddin Maka Terkubur Nilai Dan Prinsip Kekuatan Umno - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top