Latest News

Thursday 23 June 2016

PRN Sarawak, kesannya kepada federalisme, dan impaknya kepada Kedah - Mukhriz Mahathir


1. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang telah berlangsung pada 7 Mei, 2016 membuktikan bahawa Barisan Nasional masih diyakini dan disokong majoriti orang Sarawak. Ada yang menyatakan bahawa kemenangan BN di Bumi Kenyalang adalah disebabkan populariti Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem yang dengan stail tersendiri telah membawa mesej “Sarawak for Sarawakians”. Mesej yang duhulunya mendapat sokongan pihak Pakatan Rakyat (yang tanpa PAS kini berubah menjadi Pakatan Harapan) telah dibajak oleh Adenan dan jentera BN sebagai gagasan yang diperjuangkan. Tindakan strategik ini sekaligus menggagalkan tema kempen PH. Malah walaupun intipati kempen BN dianggap lebih kurang sama dengan kempen PH, Rakyat Sarawak percaya bahawa BN lebih berupaya untuk menunaikan janji-janji pilihanraya memandangkan parti yang sama memerintah di peringkat Persekutuan, dan Adenan berjanji akan tuntut macam-macam untuk Sarawak daripada Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Semua ini tidak akan dapat dilakukan oleh sebuah kerajaan negeri di bawah PH sewaktu BN masih berkuasa di Persekutuan.

2. Ada juga yang menganggap bahawa kemenangan BN di Sarawak adalah kerana Najib sendiri kerap melawat negeri tersebut sebelum dan sewaktu kempen PRN tersebut. Malah kemenangan tersebut dianggap oleh beberapa Menteri Kabinet sebagai bukti bahawa Najib tetap di hati Rakyat. (Kemenangan BN dikedua-dua PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar juga dikatakan begitu.)

3. Sebaliknya, ada juga tanggapan bahawa BN menang walaupun masalah yang dikaitkan dengan Najib menjadi buah mulut Rakyat seluruh negara, dan kalau tidak kerana kehebatan Adenan tentunya politik Sarawak akan melihat perubahan yang begitu dramatik sekali. Antara sebabnya tanggapan ini diterima ramai ialah kurangnya poster BN dengan gambar Najib sekitar negeri Sarawak ketika tempoh PRN itu berlangsung.

4. Najib pula begitu bersungguh-sungguh melayan setiap permintaan Adenan. Seperti yang dia sendiri mengaku, Najib telah melawat Sarawak sebanyak lebih kurang 50 kali semenjak menjadi PM. Agaknya ini adalah kerana dia menganggap Sarawak simpanan tetap BN yang penting yang menyumbang 24 kerusi Parlimen untuk parti pemerintah itu. Walaupun begitu, umum mengetahui bahawa PRN yang lepas adalah untuk memilih ADUN, dan bukannya Ahli Parlimen. Maka jelas yang menjadi pertimbangan pengundi adalah isu negeri dan bukannya isu nasional.

5. Rakyat Sarawak lebih prihatin mengenai kesejahteraan hidup mereka di negeri sendiri dan tidak terkesan dengan isu 1MDB, SRC International atau derma RM2.6 bilion dalam pertimbangan PRN itu. Apa yang mereka mahu ialah lebih banyak bantuan dari Kerajaan, dan Adenan menunjukkan bagaimana caranya dia dapat menggunakan kelebihan Sarawak sebagai simpanan tetap BN itu untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rakyat. Inilah yang merupakan faktor utama dalam kemenangan BN di PRN Sarawak.

6. Setiap kali Najib ke Sarawak, Adenan akan meminta pelbagai perkara – baik projek pembangunan mahupun penambahan kuasa autonomi bagi Kerajaan Negeri. Dalam keghairahan untuk memastikan BN terus memerintah di Sarawak, dan terus memberi kekuatan kepada dirinya di peringkat nasional, Najib banyak mengumumkan kelulusan untuk pelbagai permintaan itu. Sebagai contoh Projek Lebuhraya Pan Borneo melibatkan penambahbaikan dan pembinaan lebuhraya sepanjang 1,076 km yang bebas tol. Pembangunan projek ini akan memakan belanja RM16.0 bilion, tambah lagi dengan kos penyelenggaraan setelah kesemuanya siap dibina tentunya perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan juga. Dari pengalaman PLUS di Semenanjung, kos penyelenggaraan setiap tahun berjumlah ratusan juta ringgit. Maknanya Kerajaan Persekutuan akan menanggung belanja berbilion ringgit untuk pembinaan lebuhraya ini, kemudian menambah ratusan juta ringgit pula setiap tahun untuk penyelenggaraannya kerana tiada hasil dari kutipan tol yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

7. Selain itu, dalam sidang media pada 4 Mei, 2016 Najib menyatakan bahawa RM3.5 bilion telahpun diluluskan untuk projek-projek lain di Sarawak.

8. Adenan juga masih tegas meminta supaya royalti minyak dari Kerajaan Persekutuan dinaikkan dari 5 peratus kepada 20 peratus. Tuntutan ini ditangguh dahulu sehingga harga minyak kembali ke paras yang lebih tinggi.

9. Penting untuk saya nyatakan bahawa komen-komen saya di atas bukan untuk mengungkit, jauh sekali terbit dari rasa irihati terhadap Sarawak. Malah saya kagum dengan keupayaan Sarawak dalam berunding dengan Najib dan memperoleh konsesi yang terbaik daripada beliau. Apakah yang menyebabkan Najib begitu bermurah hati dengan Sarawak? Yang dikatakan sebagai “simpanan tetap” itu sebenarnya bukannya penguasaan Kerajaan Negeri oleh BN pimpinan Adenan, tetapi 24 daripada 31 kerusi yang dipegang BN Sarawak di Dewan Rakyat. Jumlah ini menyumbang kepada kedudukan BN yang mempunyai 133 kerusi di Dewan tersebut.

10. Saya bimbang apabila melihat seolah-olah beberapa negeri lain, terutamanya yang punyai pendapatan yang tinggi, juga mempunyai sikap yang sama iaitu untuk menekan Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib untuk memberi pelbagai konsesi. Malah ugutan untuk keluar dari Persekutuan Malaysia mula kedengaran. Negeri Johor misalnya sering menggunakan istilah “Bangsa Johor” yang boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang terasing dari negeri-negeri lain dalam Persekutuan. Unsur-unsur sama juga kelihatan di Negeri Sabah. Parti lama seperti USNO muncul kembali, mungkin sebagai alat pemisah politik Sabah dan Persekutuan jika BN tumbang di Parlimen.

11. Ketiga-tiga negeri ini adalah negeri BN. Apa yang menyebabkan kerajaan negeri yang dikuasai BN boleh bersikap sebegitu? Adakah negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) seperti Selangor dan Pulau Pinang juga berfikiran sama? Tentunya tidak jika Kerajaan Persekutuan BN tewas kepada PH di PRU14 nanti.

12. Pada hemat saya punca perkara ini berlaku ialah kepimpinan pusat yang lemah, tercemar dengan dakwaan penyelewengan dana dan salahguna kuasa yang menjejas populariti BN di mata Rakyat, dan keputusan PRU13 yang mendedahkan mereka kepada pelbagai tekanan dari negeri-negeri yang punyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak. Tambah pula negeri-negeri ini dianggap simpanan tetap BN dan juga mempunyai hasil pendapatan yang tinggi berbanding negeri-negeri lain.

13. Sarawak yang mempunyai jumlah penduduk seramai 2.6 juta orang (bagi tahun 2015) misalnya, mengunjurkan hasil pendapatan berjumlah RM5.55 bilion bagi tahun 2016 walaupun RM6.11 bilion telah dikutip sebagai pendapatan bagi tahun 2015. Dari jumlah bajet negeri 2016 sebanyak RM8.04 bilion, RM5.97 bilion akan dibelanjakan untuk pembangunan. Ini tidak termasuk belanjawan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak.

14. Johor pula, dengan penduduk berjumlah 3.6 juta orang telah mengunjurkan hasil pendapatan sebanyak RM1.43 bilion bagi tahun 2016, kenaikan sebanyak 15 peratus dari hasil tahun 2015.

15. Sebagai perbandingan, Sabah mengumumkan unjuran pendapatan sebanyak RM3.52 bilion bagi tahun 2016. Pendapatan bagi tahun 2015 adalah RM3.86 bilion bagi negeri yang jumlah penduduknya seramai 3.5 juta orang.

16. Saya faham bahawa Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai kawasan yang sangat luas. Maka ianya memerlukan perbelanjaan untuk infrastruktur seperti jalan untuk menjadi pemangkin kemajuan rakyatnya. Namun begitu, Sarawak masih mampu untuk memperoleh hasil pendapatan yang sangat tinggi berbanding negeri-negeri lain. Malah jumlah hasil yang tinggi ini, ditambah pula jumlah kerusi Parlimen yang banyak yang memberi keyakinan kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menuntut macam-macam konsesi dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. Selain itu, cakap-cakap tentang “Sarawak for Sarawakians” kedengaran sekitar negeri itu, walaupun Ketua Menteri menyatakan bahawa Sarawak tiada hasrat untuk berpisah daripada Malaysia. Kalau tidak, mana mungkin Najib boleh memberi layanan yang teristimewa kepada segala tuntutan Sarawak?

17. Adakah ini adil bagi negeri-negeri lain yang mempunyai hasil pendapatan yang rendah sehingga sentiasa bergantung kepada ehsan Kerajaan Persekutuan? Adakah ketidakseimbangan ini bersifat saksama (equitable) bagi semua negeri, khususnya yang mempunyai tanggungan yang besar tapi hasil yang sedikit?

18. Negeri Kedah, contohnya, mempunyai penduduk berjumlah 2.1 juta orang dengan anggaran pendapatan sebanyak hanya RM721 juta bagi tahun 2016 berbanding kutipan sebenar hanya RM344 juta bagi tahun 2015. Walaupun Kedah menyimpan cita-cita untuk membangun melalui industrialisasi, namun negeri jelapang padi ini terpaksa menyediakan 270,000 hektar tanah untuk sawah bendang, hutan kawasan tadahan air, tasik dan empangan. Kalau beberapa negeri yang lain mampu menjana pendapatan yang tinggi dari sektor pembalakan, Kedah pula terpaksa merizabkan sebahagian besar dari hutannya untuk tujuan tadahan air. Semua itu untuk menjamin bekalan makanan bagi seluruh negara, bukan hanya untuk Rakyat Kedah sahaja.

19. Saya akui bahawa pembekalan beras oleh Kedah yang berjumlah 35 peratus dari keperluan keseluruhan negara adalah sangat penting untuk dipertahankan. Tetapi bayangkan apa nasib Kedah jika separuh dari tanah rizab itu dibuka untuk industri. Tentunya lebih banyak pelaburan akan masuk, banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi akan wujud, tempias pertumbuhan ekonomi akan dirasai, dan pendapatan Kerajaan juga meningkat. Natijahnya, Rakyat akan lebih sejahtera berbanding dengan situasi di mana Kedah kekal sebagai periuk nasi negara yang banyak bergantung kepada subsidi Kerajaan Persekutuan, dan tidak menjana hasil yang berbaloi bagi Rakyat dan Kerajaan Negeri.

20. Melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), sudah terbukti bahawa apabila Kedah menerokai potensi industrialisasi, ia berjaya dengan cemerlang. KHTP diiktiraf sebagai taman industri yang terbaik di Malaysia, berjaya menarik pelaburan berjumlah RM33 bilion, menjana 22,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dengan purata gaji pekerja sebanyak RM6,200 seorang. Pelaburan permulaan dari Kerajaan Persekutuan berjumlah RM600 juta untuk pembangunan KHTP pada tahun 1996 telah memberi pulangan berlipat ganda kepada Putrajaya melalui pelbagai cukai korporat dan hasil-hasil sampingan.

21. Namun, selain Pulau Langkawi, Kerajaan Persekutuan seakan-akan kurang peduli terhadap nasib Kedah. Mungkin ini adalah kerana jumlah kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh BN Kedah pada PRU13 hanya 10 dari 15 (peningkatan dari 4 pada PRU12), atau kerana Kedah terlalu bergantung kepada ehsan Kerajaan Persekutuan untuk kelangsungan kerajaan dan Rakyat.

22. Kesan dari kebergantungan Kedah kepada Putrajaya, hutang Kedah kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM2.0 bilion - tertinggi antara negeri-negeri Persekutuan. Kebanyakan dari hutang ini datangnya dari kos pembangunan infrastruktur air seperti empangan, saliran air dan lain-lain yang berkaitan.

23. Maka dengan itu, tidak seperti negeri kaya macam Sarawak, Johor dan Sabah yang juga dikuasai BN, Kedah tidak berupaya untuk menuntut macam-macam daripada Najib, jauh sekali mampu ugut untuk pisah daripada Persekutuan Malaysia jika kehendaknya tidak dilayan. Selain merupakan negeri yang tertua di Malaysia, dengan tamadun pentadbiran, perdagangan antarabangsa, dan industri jongkong besi yang bermula 550 tahun sebelum masihi, Kesultanan Kedah juga yang paling awal memeluk agama Islam iaitu pada tahun 1136. Memang sifat orang Kedah selalu merendahkan diri walaupun negeri ini melakarkan sejarah yang dikagumi.

24. Adakah ini adil untuk Kedah dan negeri-negeri yang sederhana pendapatannya seperti Perlis, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan? Kami kagum dengan kemampuan negeri-negeri kaya untuk memaksa Kerajaan Najib untuk meluluskan projek bernilai berbilion-bilion dan memberi lebih banyak autonomi pentadbiran bagi Kerajaan Negeri-negeri tertentu, tapi bagaimana dengan Kedah dan yang lain-lain? Adakah hanya kerana Kedah tiada kekuatan untuk mengugut Najib, maka sejumlah besar dana pembangunan disalurkan kepada negeri-negeri kaya sahaja? Adakah ini saksama namanya?

25. Apa akan jadi kepada formula Federalisme yang negara amalkan jika dua tiga negeri kaya menuntut bahagian yang lebih besar dari kekayaan negara seperti dana pembangunan, hasil minyak dan kutipan cukai? Dari mana sumber untuk membangunkan negeri-negeri yang terpinggir dari arus pembangunan perdana?

26. Saya berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi lebih perhatian kepada pembangunan negeri-negeri miskin seperti Kedah. Kalau ekonomi Kedah tidak bertumbuh lebih pantas daripada negeri-negeri lain, kelembapan Kedah itu akan melembapkan juga pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya. Contohnya, pertumbuhan 20 peratus setahun bagi ekonomi Kedah yang kecil itu, tidak lebih besar dari pertumbuhan 5 peratus bagi ekonomi Sarawak.

27. Saya sarankan agar Kerajaan Persekutuan membantu Kedah untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan merangka rancangan jangka panjang transformasi Kedah dari ekonomi yang berteraskan pertanian berpendapatan rendah kepada ekonomi industri teknologi tinggi berpendapatan tinggi.

28. Tabiat Najib yang hanya melayan setiap kehendak negeri-negeri “simpanan tetap” tanpa mempedulikan negeri-negeri miskin hanya untuk kelangsungan kepentingan politiknya sebagai PM akan sangat merugikan negara, malah boleh meleraikan kesatuan persekutuan Malaysia. Tambah lagi dengan kekurangan dana Kerajaan Persekutuan akibat dari defisit dan hutang yang melampaui batas, situasi politik negara umpama telur di hujung tanduk. Adakah janji demi janji yang ditaburkan oleh Najib untuk negeri-negeri simpanan tetap benar-benar mampu dipenuhi oleh Putrajaya?

29. Adalah harapan saya agar berlakunya pertukaran dalam pucuk kepimpinan negara kepada pemimpin yang memahami dan mampu bertindak untuk melerai kemelut ini. Jika proses pertukaran ini tidak berlaku pada kadar segera, saya khuatir akan masa depan Malaysia yang kita sangat sayangi ini. Perhatian tidak seimbang yang diberikan oleh kerajaan Najib terhadap negeri-negeri kaya berbanding miskin, tumpuan kepada percaturan politik melebihi kepentingan ekonomi negara, defisit menggunung yang dialami Kerajaan termasuk anak-anak syarikatnya dan GLC akan menjejas masa depan jangka panjang Malaysia kecuali jika diambil tindakan segera.

30. Saya mendoakan semoga Allah SWT menunjukkan jalan dan memberikan hidayah agar kita dapat selesaikan masalah dan terus maju membina negara bangsa yang diidamkan.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: PRN Sarawak, kesannya kepada federalisme, dan impaknya kepada Kedah - Mukhriz Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top