Latest News

Sunday 11 November 2018

Kedah bentang belanjawan realistik



ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kedah membentangkan Belanjawan 2019 berjumlah RM853.8 juta, meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM659.8 juta, manakala RM86 juta bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, belanjawan ini merupakan bajet defisit dengan anggaran sebanyak 8.14 peratus berbanding 10.19 peratus pada 2018.
Menurutnya, defisit bagi Belanjawan 2019 dianggarkan berjumlah RM57.78 juta, manakala perbelanjaan mengurus juga menunjukkan pengurangan 10.61 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Anggaran ini lebih realistik dicapai berbanding RM779.5 juta bagi 2018,” katanya, ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, hari ini.

Mukhriz berkata, anggaran hasil pada 2019 adalah RM710 juta, meliputi hasil cukai RM295 juta, hasil bukan cukai (RM 215 juta), manakala RM200 juta bagi Terimaan Bukan Hasil.

“Setakat 5 November 2018, jumlah hasil sebenar dicatat adalah RM475.35 juta, iaitu 60.98 peratus dari anggaran Bajet 2018,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus, RM108 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Bawah peruntukan mengurus, RM248 juta bagi pembayaran emolumen; pembayaran perkhidmatan dan bekalan (RM162 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM153 juta), pembelian aset (RM16 juta), lain-lain perbelanjaan (RM5.8 juta) serta RM75 juta bagi bayaran tertanggung kerajaan negeri,” katanya.

Mukhriz berkata, walaupun mewarisi pelbagai kekurangan, khususnya sumber kewangan, ia bukan halangan untuk membangunkan negeri dengan pelbagaikan sumber pendapatan dan meneroka bidang keberhasilan baharu.

Belanjawan 2019 adalah bajet sulung PH Kedah setelah mengambil alih tampuk pemerintahan negeri selepas PRU14.

Mukhriz berkata, kerajaan PH di peringkat negeri mahupun Pusat sedang melakukan pembersihan kepada sistem lapuk yang membebankan, sarat dengan permasalahan serta tidak efektif.

“Kita sedang menilai semula dasar sedia ada, kaedah penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat. Kita tidak mahu terikat kepada mekanisma lapuk tetapi berfikir di luar kotak dengan idea lebih segar untuk urus tadbir lebih cekap, telus dan berintegriti,” katanya.

Menurutnya, bajet bertemakan ‘Harapan Bersama, Makmurkan Kedah’ memfokus perbelanjaan realistik melalui pengurusan kewangan berhemah bagi membolehkan peningkatan hasil serta optimumkan perbelanjaan.

Mukhriz berkata, sejumlah RM66.75 juta diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur sedia ada, selain menyediakan keperluan infrastruktur baharu.

“Antaranya, projek menaik taraf Jalan Suka Menanti dan pembinaan jalan masuk utama Skim Perumahan Penjawat Awam di Bukit Pinang. Selain projek menggantikan jambatan sempit di Sungai Beruk, Kampung Gajah Putih di Sik, serta jambatan Pekan Kuala Pegang di Baling,” katanya.

Menurutnya, RM10 juta untuk kerja-kerja menaik taraf khususnya melibatkan projek pelebaran 30 jalan dan jambatan di seluruh negeri.

“Kerajaan Pusat meluluskan projek jalan dari Kampung Sungai Batu melalui Kampung Sungai Pasir ke Ladang Dublin, Bandar Baharu bernilai RM 27 juta. RM15 juta untuk program tebatan banjir, pemulihan kerosakan akibat banjir, pemuliharaan muara sungai, program cegah hakisan pantai, serta menambah baik peralatan elektrikal dan mekanikal sistem pengairan dan saliran,” katanya.

Mukhriz berkata, bagi menangani masalah bekalan air terawat, RM158 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek menaik taraf bekalan air melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan.

“Dua projek diluluskan, iaitu projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang dan Jenun Baharu. Tiga lagi, iaitu LRA Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama akan diteruskan selepas dua projek itu selesai,” katanya.

Menurutnya, LRA Pelubang merupakan keperluan kepada pembangunan projek ekonomi berskala besar di Kedah, iaitu membekalkan air terawat ke Kota Perdana di Special Border Economic Zone (SBEZ) dan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam.

“Sekitar 50,000 warga Kedah berdepan masalah tekanan rendah, 6,000 akaun yang terputus bekalan ketika peralihan kuasa telah ditangani dengan menyediakan pam penggalak mini di 10 lokasi,” katanya.

Tambahnya, usaha bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang dilakukan untuk program Air Tidak Terhasil atau ‘Non Revenue Water’ (NRW), dalam mengatasi masalah air bocor, dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kesemua perolehan akan dilaksanakan mengikut polisi tender terbuka,” katanya.

Mukhriz berkata, RM19.9 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Kecil Kemajuan Luar Bandar, Projek Pembangunan Sosial, Projek Pembangunan Masyarakat, Projek Basmi Kemiskinan, serta Projek Peningkatan Pendapatan dan Kemakmuran Rakyat, disalurkan menerusi Pejabat Daerah.

“RM9.8 juta untuk program pembangunan industri pertanian memfokus dua sektor utama, iaitu industri padi dan agro. Kita komited bangunkan projek Estet Padi agar hasil pengeluaran 10 tan sehektar dicapai dengan penggunaan teknologi tinggi, selain tanaman alternatif seperti sorghum akan dikaji,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut bercadang meningkatkan pengeluaran padi organik di Sik dan Padang Terap, yang menyumbang pendapatan lebih tinggi.

“RM2.4 juta untuk industri buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman ladang, industri asas tani, serta pembangunan tanaman industri dan komoditi berpotensi tinggi. Penghasilan Durian Duri Hitam di daerah Bandar Baharu juga ditingkatkan untuk pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

Mukhriz berkata, RM4.27 juta adalah bagi memenuhi projek penternakan lembu tenusu, penternakan ayam itik dan program kemajuan padang ragut.

“Kluster Tenusu Kedah diperkasakan agar perbekalan keperluan susu di pasaran dalam dan luar negara ditingkatkan.

Menurutnya, peruntukan RM8.45 juta dicadangkan untuk sektor pelancongan, bawah pelancongan sukan, Geopark Negeri (Langkawi dan Jerai) serta The Heritage Trail Of Kedah Sultanate.

“RM2.5 juta bagi program meningkatkan kualiti pendidikan bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk keperluan pasaran kerja, selain mewujudkan Projek Perintis Kelas Pintar di sekolah terpilih serta Universiti Utara Malaysia (UUM) dijadikan sebagai Pilot Spot IR4.0 bagi tujuan kajian dan pengaplikasian,” katanya.

Mukhriz berkata, RM14.9 juta bagi memacu pembangunan industri sukan, antaranya program pengembangan bakat, pembangunan atlet dan jurulatih, menaik taraf prasarana sukan, serta pembinaan kompleks sukan berpusat.

“Pembinaan Kompleks Litar Sukan Bermotor di Sungai Petani melalui pembiayaan Kerajaan Persekutuan bernilai RM70 juta dapat memacu pembangunan industri sukan bermotor. Kerajaan Negeri akan sediakan prasarana asas bagi pembangunan sukan elektronik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengakui kantung negeri tidak banyak dan perlu mengehadkan perbelanjaan kepada sektor utama buat masa ini.

“Belanjawan 2019 tidak luar biasa dan menakjubkan. Inilah hakikat kedudukan kewangan negeri ketika ini. Sebanyak itu sahaja wang yang ada, maka kita ambil pendekatan realistik. Ini bukan belanjawan syok sendiri, dengan umumkan projek mega dan peruntukan besar, sedangkan dana tidak mencukupi,” katanya.

Laporan Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah bentang belanjawan realistik Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top