Latest News

Wednesday 17 December 2014

Sejarah Kedah : Kenali YTM Tunku Yaacob



YTM Tunku Yaacob Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah ialah Putera yang ke 18 baginda Sultan Kedah. Beliau telah diputerakan di Kota Kanchut, Bandar Diraja Alor Setar, ibu negeri Kedah iaitu pada hari Rabu 23 Syaaban 1317 bersamaan 27 Disember 1899. Bondanya bernama Sharifah Fatimah binti Syed Idrus. Saudara-saudara yang seibu dengannya ialah Tunku Hajar, Tunku Yahya, Tunku Abdul Majid timang-timangannya ialah Tunku Endut, Tunku Zainal Abidin Thani dan Tunku Muhammad Shuib. Manakala Tunku Abdul Rahman adalah adindanya tetapi berlainan ibu.

Tunku Yaacob sejak kecil telah menunjukkan kebolehan luar biasa. Masa kecilnya ketika berusia 7 tahun, beliau berkemampuan menghafal Surah Yassin. Pada tahun 1909, Tunku Yaacob telah dihantarkan ke sekolah Inggeris yang baru sahaja siap didirikan pada 8 Disember 1908. Ianya dipanggil Government English School (G.E.S). Penuntut yang mula bersekolah di sini ialah Tunku Yaacob, Tunku Abdul Rahman dan beberapa orang putera lagi. Seterusnya Tunku Yaacob telah dihantar ke Malay College Kuala Kangsar pada tahun 1912. Beliau telah diletakkan dalam kelas satu. Kemudian dinaikkan ke kelas dua dan tiga yang dicantumkan. Dalam peperiksaan tahunan, Tunku Yaacob telah menduduki tempat ketiga. Kemudian Tunku Yaacob telah dinaikkan ke kelas VII. Kemudiannya menerima "Sijil Tamat Persekolahan" sebagai penuntut yang keempat dalam lingkungan umur 16 tahan. Tetapi semasa perang dunia yang pertama tahun 1914-1918, Tunku Yaacob terpaksa belajar dua tahun lagi dalam sebuah kelas khas dengan kemahuan guru besarnya.


Tunku Yaacob telah meninggalkan Maktabnya ketika berumur 18 tahun. Beliau memegang jawatannya yang pertama pada 22 September 1918 sebagai seorang Pegawai Penempatan Percubaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di Daerah Kerian, Perak. Seterusnya Tunku Yaacob telah bertukar ke Alor Setar, kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Ketua Pejabat Tanah Daerah Kubang Pasu. Beliau kemudian dihantar ke Pulau Langkawi sebagai Ketua Pejabat Tanah Daerah Langkawi di Kuah. Tunku Yaacob telah dilantik sebagai Ketua Pejabat Tanah Baling pada tahun 1921. Tunku Yaacob telah dibenarkan cuti belajar ke England bermula pada 5 Disembaer 1922 atas perbelanjaan sendiri. Pada tahun 1929, Tunku Yaacob telah tamat pengajian dalam bidang pertanian dan memperolehi Ijazah B.A. beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Imperial College of Agriculture di Trinidad.

Sekembali Tunku Yaacob pada 14 Februari 1930, beliau telah dilantik sebagai Ketua Tanam-Tanaman Negeri Kedah yang sekarang dikenali sebagai Jabatan Pertanian. Atas usaha dan bimbingan beliau yang tidak mengenal penat dan jemu, beliau telah membimbing kaum tani mengusahakan tanaman padi mengikut teknik moden. Orang Melayu juga digalakkan menanam tanaman lain daripada padi seperti jagung, ubi, pisang, sayur dan lain-lain. Hasilnya yang berlebihan boleh dijual sebagai satu mata pencarian selain daripada hanya bergantung kepada bertanam padi dan menoreh getah. Tunku Yaacob juga memberi bantuan benih, baja dan nasihat. Atas khidmat bakti Tunku Yaacob, pendapatan petani bertambah baik. Tunku Yaacob telah menubuhkan Pusat Percubaan Padi di Teluk Chengai sebagai pusat latihan supaya petani mengetahui kaedah bersawah bendang secara betul dan sistematik. Beliau juga menubuhkan "Gajah Mati Agricultural Experiment Station" iaitu sebuah pusat penyelidikan berkenaan pertanian khususnya berkenaan benih pokok buah-buahan tempatan. Tunku Yaacob telah menganjurkan "Kedah Agri-Hoticultural Association" (KAHA). Tujuannya ialah untuk menggalakkan petani dan peladang mempamerkan dan menjual hasil tanaman dalam pertunjukan tanam-tanaman, perusahaan kerja tangan dan ternakan.

Awal tahun 1920an, Tunku Yaacob telah menanamkan kesedaran kepada orang Melayu pada waktu itu bahawa sekiranya mereka masih tertumpu dibidang pertanian mereka tidak akan mencapai kemajuan. Beliau berpendapat orang Melayu diberi peluang bersama-sama dengan bangsa asing di dalam bidang perniagaan. Tunku Yaacob telah menubuhkan Pekan Nat atau Pekan Sehari yang masih berjalan dengan maju hingga hari ini. Hasil kesedaran seorang Putera Diraja Kedah YTM Tunku Yaacob tentang kemunduran orang Melayu dalam perniagaan telah ditubuhkan Pekan Nat di Tanjung Chali, Alor Setar. Letaknya dihujung Jalan pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal. Sempena hari kelahirannya pada hari Rabu, Pekan Nat itu dinamakan Pekan Rabu yang khususnya dibuka pada tiap-tiap hari rabu sahaja.

Tujuan utama penubuhan Pekan Rabu itu ialah untuk menggalakkan kaum bumiputera khususnya orang-orang Melayu mengambil bahagian dalam perniagaan dan perusahaan kampung.Di samping itu, mereka boleh memasarkan penghasilan mereka. Tanjung Chali yang ditubuhkan pada tahun 1920 adalah tapak bagi melatih orang Melayu di dalam perniagaan. Tujuan Tunku Yaacob menubuhkan pekan sehari itu ialah untuk melatih orang Melayu di bidang perniagaan selain daripada memberi peluang kepada orang kampung bersama-sama mengambil bahagian menjual hasil-hasil kampung mereka. Tunku Yaacob telah berjaya meletakkan asas latihan berniaga kepada orang Melayu sehingga menimbulkan kesedaran kepada kebanyakkan orang Melayu bahawa bidang perniagaan itu bukanlah menjadi hak milik monopoli orang asing sahaja.

Penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan di Kedah terutama di Pekan Minggu adalah hasil kesedaran YTM Tunku Yaacob Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid kerana dari usaha beliau yang gigih itu telah melahirkan peniaga-peniaga kecil Melayu termasuklah di Tanjung Chali.

Atas daya usaha Tunku Yaacob, Pekan Rabu telah memainkan peranan yang sangat penting dalam melatih peniaga-peniaga Melayu ditengah-tengah bandar Alor Setar. Tidak dapat dinafikan dalam menempah sejarah perkembangan tanpa pemimpin awal serta galakan yang diberi oleh Tunku Yaacob di Tanjung Chali sudah tentu penglibatan orang Melayu dalam perniagaan tidak akan timbul seawal-awalnya pada tahun 1920an.

Satu lagi sumbangan Tunku Yaacob ialah beliau ditugaskan mengetuai sebuah jabatan yang dinamakan "Rural Industries Development". Fungsi jabatan ini ialah untuk mengelola, menggalakkan, menasihat dan memberi latihan kraftangan yang berbentuk anyaman. Projek R.I.D ialah menubuhkan Sekolah Tenunan dan Sekolah Tukang Kayu. Latihan yang diberi ialah untuk memberi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang menenun kain, membuat periuk belanga, membatik, bertukang emas dan perak.

Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih R.I.D dan menamakannya "Rural Industries Development Authority" ringkasnya R.I.D.A. yang akhirnya menjadi "Majlis Amanah Rakyat" iaitu MARA yang kita kenal sekarang. Ketika menjadi Pengerusi Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, beliau telah berjaya mengumpul lebih dari sejuta ringgit wang zakat dan fitrah. Kejayaan ini dicapai kerana kerjasama petani dan peladang di Negeri Kedah.

Tuanku Yaacob telah dilantik ke beberapa jawatan penting seperti manjadi Ketua Penghulu-Penghulu Negeri Kedah, Pengetua Syarikat Kerjasama Negeri, Ahli Majlis Negeri Kedah, Penasihat UMNO dalam Hal Ehwal Pertanian, Timbalan Pengarah Pertanian Tanah Melayu, State Agriculture Officer Kedah, Ahli Federal dan State Excentive Council, Federal Legislative Council, Pemangku Menteri Besar Kedah, Regent Negeri Kedah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Kuala Lumpur, Setiausaha Majlis Raja-Raja, Ahli Majlis Perundangan dan Majlis Eksekutif, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pengerusi Majlis Universiti Malaya, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu di London dan Duta Malaysia ke Perancis.

Penglibatan Tunku Yaacob tidak hanya terbatas kepada kegiatan ekonomi sahaja, beliau juga aktif dalam pertubuhan sukarela. Beliau telah dilantik pada tahun 1935 menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah. Beliau juga pernah menjadi Presiden Persatuan Hoki Kedah. Beliau aktif dalam pergerakan sukarela beruniform. Beliau pernah menjadi Presiden Pengakap Negeri Kedah. Beliau amat meminati sukan sungai dan pernah menganjurkan pertandingan perahu panjang. Juga beliau menganjurkan pertandingan membaca Al-Quran dari peringkat mukim dan daerah hingga ke peringkat Negeri.

Hasil kesedaran seoarang Putera Diraja Kedah yang berjiwa rakyat tentang betapa penting orang Melayu supaya melibatkan diri dalam perniagaan telah meletakkan asas latihan berniaga dan tidak tertumpu dibidang pertanian sahaja. Usaha beliau menubuhkan Pekan Minggu telah membuka tempat untuk petani dan peladang untuk memasarkan dan menjual hasil keluaran mereka. Beliau amat mengambil berat dan selalu datang memerhati keadaan peniaga-peniaga dan juga menunjukkan cara-cara berjual dan mengira. Kompleks Pelan Rabu yang letaknya di tengah-tengah bandar Alor Setar adalah lambang perjuangan perniagaan orang Melayu yang telah di asas dan dipupuk olah YTM Tunku Yaacob. Untuk melengkapkan orang Melayu dengan pengetahuan dan kemahiran, beliau telah menubuhkan R.I.D. Hasilnya dengan kemahiran menenun, membatik, pertukangan kayu, emas dan perak serta periuk belanga, perusahaan luar bandar dapat dikembangkan. Ramai orang Melayu yang mendapat latihan kemahiran tersebut. Setelah diambil oleh Kerajaan Persekutuan, R.I.D telah ditukarkan kepada R.I.D.A. yang akhirnya menjadi "Majlis Amanah Rakyat" iaitu MARA.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sejarah Kedah : Kenali YTM Tunku Yaacob Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top