Latest News

Saturday 26 December 2015

Masjid Zahir Cecah Usia 100 Tahun


ALOR SETAR, 26 Dis (Bernama) -- Pada 15 Okt lalu, Masjid Zahir yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar mencecah usia 100 tahun dengan majlis sambutannya dijadual diadakan pada April 2016.

Sesungguhnya masjid ini yang juga merupakan Masjid Diraja mempunyai pelbagai keunikan.

Menceritkan sejarah masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Zahrah, Imam Satu Masjid Zahir, Ustaz Mohd Isa Abd Rahman berkata masjid ini dibina pada 11 Mac 1912 hasil cetusan idea Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang merupakan Presiden Majlis Negeri Kedah serta adinda kepada Sultan Kedah Ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Dan ia dirasmikan pada 15 Oktober 1915 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Yang menariknya ialah sempena majlis perasmian tersebut, Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat manakala Sultan Abdul Hamid Halim Shah sendiri mengimamkan solat Jumaat.

Mohd Isa berkata satu lagi kaitan menarik mengenai Masjid Zahir ialah pada zaman dahulu nobat akan dimainkan daripada Balai Nobat yang terletak berhampiran, apabila masuk waktu solat sebelum azan dialunkan dari Masjid Zahir.

"Ini bagi memberitahu terutama kepada masyarakat Islam di sekitar Alor Setar mengenai waktu solat. Orang zaman dahulu tidak mempunyai kemudahan jam untuk mengetahui waktu solat. Selain bunyi nobat, bunyi jam besar yang terletak berdekatan masjid turut menjadi panduan masuk waktu solat bagi orang ramai," katanya.

Kedua-dua Bangunan Jam Besar dan Balai Nobat dibina seiring dengan pembinaan Masjid Zahir, jelas Mohd Isa.

Beliau berkata antara keunikan lain Masjid Zahir yang bercirikan seni bina timur tengah ini ialah ia mempunyai 261 batang tiang daripada empat jenis iaitu tiang sebatang, tiang kembar dua, tiang kembar tiga dan tiang kembang empat yang diperbuat darpada batu dan simen.

"Tiang berkembar empat digunakan untuk menahan berat kubah induk yang binaannya diambil daripada bentuk seni bina Greek 'corinthian' serta dihiasi dengan ukiran berkonsepkan flora," katanya.

Beliau berkata selaras dengan peredaran masa, Masjid Zahir diubah suai sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1960 dan 1975 dengan melakukan pembaharuan pada beberapa bahagian masjid.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Masjid Zahir Cecah Usia 100 Tahun Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top