KOTA BHARU - Pakatan Harapan meletakkan anak muda sebagai sandaran utama bagi membolehkan politok kerjasama baru itu menang dalam PRU14 nanti.
Presiden Pertubuhan Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, golongan itu menjadi inisiatif terbaik walaupun mereka datang dari pelbagai parti yang berbeza.
"Kita sudah bersepakat untuk mewujudkan gabungan politik dinamakan Pakatan Harapan, jadi anak muda kena faham agenda dan matlamat perjuangan supaya semua negeri jelas dan tak bercanggah satu sama lain.
"Anak muda ini perlu jelas berhubung soal dasar, soal nasional dan isu tertentu," katanya semasa berucap pada Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan Kali Pertama diadakan di Dewan Perniagaan China Kelantan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Mat Noor, Timbalannya, Datuk Sazmi Miah, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa, Ketua Srikandar Pusat Keadilan, Senator Siti Aishah Shaik Ismail dan Wakil DAP, Datuk Zaid Ibrahim.
Konvensyen berkenaan dianjurkan sepenuhnya oleh sekretariat gabungan pemuda Pakatan Harapan Negeri Kelantan iaitu Keadilan, Amanah, Bersatu dan Dapsy.
Muhyiddin berkata, pihaknya bukan sahaja mahu menjadi pembangkang, sebaliknya terus bercita-cita membentuk kerajaan.
"Ada kawan saya kata susah jadi pembangkang, tetapi saya katakan saya nak jadi kerajaan," katanya.
Beliau mencadangkan supaya rundingan perlu dibuat untuk tidak wujud pertembungan, seterusnya kekalahan, malah Pakatan Harapan dicadangkan perlu ada manifesto dan simbol yang sama untuk diangkat kepada Majlis Presiden.
"Kita perlu ada manifesto Pakatan Harapan untuk membantu rakyat dan cadangan buat satu lorong atau simbol bagi membolehkan calon menggunakan satu simbol sahaja.
"Kita juga perlu menyegerakan pendaftaran pertubuhan, sama ada pertubuhan itu diluluskan segera atau dilengah-lengahkan atas sebab teknikal tertentu, ini adalah perkara yang perlu dipersetujui bagi membentuk kerjasama politik baru untuk capai kejayaan dan menang nanti," katanya.
Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment