Latest News

Saturday, 26 January 2019

Presiden KFA Lancar Jersi & Memperkenalkan penaja KFA Musim 2019




UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN
MERANGKAP PRESIDEN PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH

PELANCARAN JERSI & MEMPERKENALKAN PENAJA KFA MUSIM 2019

STADIUM DARUL AMAN
ALOR SETAR, KEDAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Selamat Petang

YANG BERHORMAT DATO’ AHMAD BIN KASSIM,
Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah

YANG BERHORMAT ENCIK ASMIRUL ANUAR ARIS,
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Kehormat KFA

Yang Berusaha Barisan Exco Persatuan Bolasepak Kedah
Yang Dihormati Wakil-Wakil Penaja KFA
Para Pemain dan Pegawai
Penyokong Setia Pasukan Kedah
Rakan-Rakan Media serta Hadirin Yang Dihormati Sekalian

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat bersama petang ini dalam majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja-Penaja Pasukan Bolasepak Kedah bagi musim 2019.

2. Terima kasih kepada semua pihak kerana terus memberi sokongan padu kepada Lang Merah, pasukan kebanggaan kita yang akan membawa cabaran Kedah Darul Aman dalam kancah liga bolasepak pada musim ini. Kita pasakkan harapan agar Kedah bangkit dengan penuh bergaya dan muncul sebagai pasukan yang mantap dan mencipta kejayaan demi kejayaan sehingga dinobat sebagai juara.

3. Di awal ucapan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa bagi perlawanan Unity Shield menentang Perak di sini pada 13 Januari lepas, hasil jualan tiket adalah sebanyak Seratus Lima Puluh Ribu Ringgit (RM150,000.00). Seperti yang dijanjikan, separuh daripada jumlah itu iaitu sebanyak Tujuh Puluh Lima Ribu Ringgit (RM75,000.00) akan disumbangkan kepada badan-badan bukan kerajaan terpilih dalam masa terdekat.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

4. Selaku Presiden KFA dan penyokong tegar Lang Merah, saya begitu teruja untuk melihat pasukan kebanggaan kita beraksi pada musim ini. Umpama pepatah, perahu sudah di air, dayung pula sudah di tangan, hanya menanti ketika yang molek untuk mudik ke kuala.

5. Telahpun kita persiapkan sebuah pasukan yang padu dengan barisan pemain yang kita yakin mampu membawa cabaran Kedah sehingga ke puncak kecemerlangan. Pasukan kita telah mempamerkan corak permainan yang memberangsangkan dalam perlawanan-perlawanan pra-musim.

6. Saya percaya semua ini hasil dedikasi dan kesungguhan setiap individu dalam KFA; dari yang di peringkat tertinggi hingga pengurusan, barisan jurulatih yang diketuai Saudara Aidil Sharin Sahak, para pemain dan pegawai-pegawai di semua lapisan yang mempunyai impian yang satu iaitu untuk melihat Kedah bangkit sebagai JUARA!.

7. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan syabas kepada Setiausaha Kehormat KFA, Yang Berhormat Asmirul Anuar Aris, yang begitu komited dalam menggerakkan KFA dan Skuad Negeri. Beliau begitu dedikasi dengan mengambil pendekatan “hands-on” dalam setiap usaha dan program yang dirangka untuk memajukan skuad dan sukan bolasepak Kedah. Syabas dan Tahniah, YB Asmirul.

8. Beberapa permasalahan, baik dalam pengurusan KFA mahupun pasukan dan penyokong telah ditangani dengan baik. Kini, kita bergerak sebagai “team”, pasukan yang HARMONI, berwibawa, berintegriti, yang saling hormat-menghormati, saling mendokong dan menyokong aspirasi untuk membina pasukan Kedah yang profesional, mantap dan berjaya.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

9. KFA sentiasa menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak, termasuklah agensi dan syarikat korporat yang tampil sebagai penaja. Ini kerana mereka yakin dengan potensi pasukan Kedah; percaya bahawa Lang Merah mampu terbang tinggi, digeruni dan dihormati dalam persada bolasepak negara.

10. Di petang ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penaja-penaja Pasukan KFA bagi musim 2019. Dengan sukacitanya, saya perkenalkan:

LOTTO yang menaja “kits” dan peralatan sukan. Selepas 9 tahun, LOTTO kembali bersama Kedah. Terima kasih. Bersama kita petang ini bagi mewakili LOTTO ialah Puan Norita Mohd. Nor, Pengurus Besar LOTTO Sports.

Penaja kita yang seterusnya, PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI KEDAH (P.K.N.K.), yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Syed Yusof Syed Othman.

Berikutnya, Syarikat Air Darul Aman, SADA. Bersama kita ialah Pengurus Besar Teknikal SADA, Tuan Haji Mohd Tarmizi Abdul Rani.

Yang turut menaja Pasukan Kedah musim ini, Menteri Besar Kedah Incorporated (MB Inc.). Perkenalkan, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Dr Muhammad Mahadi Mohamad.

11. Inshaa-Allah, semua tajaan ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi memaju dan mengharumkan nama pasukan bolasepak Kedah.

12. Berusahalah dengan gigih dan pastikan kemenangan memihak kepada kita dalam setiap perlawanan. Para penyokong mengharapkan Kedah bangkit sebagai pasukan yang gah; yang hebat dan berjaya menjulang kejuaraan, khususnya muncul Juara Liga Super. Untuk itu, prestasi pasukan harus konsisten kerana setiap mata yang dikutip amat berharga.

13. Bagi menghargai sokongan padu dan setia para peminat dan penyokong, sukacita saya mengumumkan bahawa tiada seorang pun pemain pasukan KFA akan memakai Jersi Nombor 12. JERSI NOMBOR 12 DIKHASKAN UNTUK PEMINAT DAN PENYOKONG LANG MERAH!

14. Akhir kata, saya berharap Pasukan Kedah pada musim ini akan memperoleh kejayaan dan kecemerlangan, sekaligus memberi impak positif kepada pembangunan sukan bolasepak di dalam negeri dan negara.

15. Saya ingin berpesan kepada para pemain agar menunjukkan komitmen serta sikap profesionalisme yang tinggi sepanjang berada dalam pasukan ini. Pemain harus mempunyai disiplin yang baik, bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar permainan.

16. Berjuanglah dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi demi maruah bolasepak Negeri Kedah Darul Aman. Berpeganglah pada kata-kata ini: “Bermainlah dengan bersungguh-sungguh untuk nama yang tertulis di dada jersi jika mahu nama yang tercatat di belakang menjadi sanjungan.”

17. Kepada para penyokong, teruskan bersama KFA dan Skuad Negeri. Penuhkan dan gamatkan stadium di mana sahaja Skuad Lang Merah bermain. Kamu semua adalah SEMANGAT DAN JIWA PASUKAN KEDAH!

18. Saingan pertama kita dalam Liga Super Musim 2019 ini ialah menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, kemudian bertemu pula dengan “The Boss Gaurus” pasukan utama Perak. Kedua-duanya away games. AYUH LANG MERAH!…PLAY WITH HEART!

19. Sekian, terima kasih.



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Presiden KFA Lancar Jersi & Memperkenalkan penaja KFA Musim 2019 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top