Latest News

Tuesday 30 April 2019

Kepada Saudari Nicole Wong Siaw Ting, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan



Saudari Nicole Wong Siaw Ting,
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan

1. Saya ucapkan terima kasih atas surat yang Saudari utuskan kepada saya bertarikh April 2019. Jelas dari kandungan surat tersebut bahawa Saudari, Pemuda MCA, malah seluruh kepimpinan pembangkang ketandusan isu sehingga perkara seperti pemulihan batu peringatan askar Jepun di Kedah pun boleh dijadikan bahan polemik politik.

2. Saya hairan kenapa orang muda kepimpinan MCA seperti Saudari masih mengungkit-ungkit kezaliman Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu. Walhal di dalam senario perang semua pihak yang terlibat sememangnya bersikap dan bertindak zalim. Perang melibatkan pembunuhan. Begitu juga tentera British yang membunuh dalam situasi itu. Semua bentuk pembunuhan tentunya memberi impak kepada kemanusiaan sejagat.

3. Namun bagi seseorang yang mengalami keadaan itu secara peribadi, YAB Tun Mahathir Mohamad tidak menyimpan sifat dendam terhadap Jepun. Sebaliknya, apakah yang beliau lakukan hampir 40 tahun lepas perang dunia berakhir? Perdana Menteri melancarkan Dasar Pandang ke Timur yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan hubungan baik Malaysia-Jepun supaya Kerajaan Jepun melihat Malaysia sebagai rakan yang patut menerima pelbagai bentuk bantuan - baik dari segi pinjaman dana ratusan juta ringgit pada kadar faedah sifar atau terendah; pelaburan dalam sektor pembinaan dan industri pembuatan yang merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, lantas membuka begitu banyak peluang pekerjaan bagi Rakyat kita; meningkatkan perdagangan dua hala dan pelbagai hala; dan memberi akses kepada Rakyat Malaysia untuk mempelajari ilmu pengetahuan serta etika kerja Jepun daripada mereka.

4. Sekiranya Tun Mahathir melayan sifat dendam, adakah mampu kita mendapat manfaat sebegitu banyak dari Jepun?

5. Lihat pula apa yang Jepun lakukan selepas perang. Ingin saya ingatkan Saudari bahawa Perang Dunia Kedua berakhir apabila dua biji bom atom digugurkan oleh Amerika Syarikat di Hiroshima dan Nagasaki. Mengikut cara pemikiran Saudari dan Pemuda MCA, Jepun sepatutnya berdendam terhadap Amerika dan tidak sekali-kali akan mengagungkan pembunuhan genosida itu. Sebaliknya sebesar-besar tugu peringatan telah dibina oleh Jepun di kedua-dua bandaraya tersebut, dijemput semua warga dunia termasuk dari Amerika Syarikat untuk melawatnya, malah dianjurkan majlis peringatan anti-peperangan setiap tahun yang dihadiri oleh pelawat dari seluruh pelusuk dunia.

6. Adakah rakyat Amerika sengaja datang untuk mengejek Jepun kerana kalah kepada mereka sewaktu perang dulu? Adakah Jepun pula berdendam dan marah melihat rakyat Amerika datang ke tempat mereka di mana ratusan ribu orang Jepun terbunuh dengan sekelip mata? Tidak sama sekali.

7. Tugu peringatan itu bertujuan untuk menyedarkan warga dunia mengenai sia-sianya jenayah perang. Bahawa apa jua kezaliman yang dilakukan oleh musuh-musuh terdahulu, proses pemulihan jiwa manusia bermula dengan permaafan dan kesedaran supaya kezaliman seperti itu tidak berulang lagi. Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan oleh Tun Mahathir juga sebahagiannya adalah bertujuan untuk memulihkan dan memerdekakan jiwa seluruh Rakyat Malaysia supaya kita pandang ke hadapan tanpa melupakan sejarah silam.

8. Kini hubungan Malaysia dengan kebanyakan negara dunia adalah baik. Rakyat kita merasai faedah dasar Malaysia itu. Tiada untungnya bagi kita semua untuk terus terbelenggu dengan adegan menyayat hati dalam sejarah kita. Bukan maksud saya untuk memadamkan kejadian-kejadian itu dari ingatan kita tetapi untuk meraih iktibar daripadanya, dan meneruskan kehidupan bagi kebaikan insan manusia sejagat.

9. Jika Saudari, Pemuda MCA dan pihak pembangkang mahu terus dibelenggu sejarah hitam negara, sila teruskan. Tiada sesiapapun yang menghalang. Perjelaskanlah kepada orang Jepun yang Saudari bertemu bahawa walaupun kita mahukan pelaburan mereka, jiwa kita masih membara dengan dendam kesumat akibat kezaliman tentera Jepun lebih 70 tahun dulu.

10. Adakah Saudari terasa maruah dipijak dengan batu peringatan askar Jepun di Kedah dan terpanggil untuk menganjurkan protes di situ? Teruskanlah jika Saudari fikirkan kegiatan itu berfaedah dan cara terbaik untuk menghabiskan masa Saudari.

11. Cumanya soalan saya ialah kenapa tiada sedetik sekalipun maruah Saudari terpijak dengan kes pencurian berbilion wang Rakyat oleh Najib Razak dan kepimpinan BN melalui 1MDB?

12. Teruskanlah dengan pemikiran lapuk dan tidak relevan Saudari itu. Kami dari Pakatan Harapan memandang ke hadapan, pantas mengorak langkah untuk menyelamat, membangun dan memajukan Negeri Kedah Darul Aman dan Negara Malaysia yang tercinta. Bersama-samalah dengan kami di Pakatan Harapan untuk berkhidmat kepada Rakyat jelata.

Mukhriz Mahathir
Pengerusi Pakatan Harapan Kedah

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kepada Saudari Nicole Wong Siaw Ting, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top