Latest News

Saturday 6 December 2014

Kenyataan Pengarah Kesihatan Kedah Mengenai Kematian Amirah



Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ingin merujuk kepada pertanyaan media berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun dari Taman Pinang Merah, Bukit Pinang yang dipercayai disebabkan oleh jangkitan leptospirosis atau kencing tikus. Jabatan ini difahamkan oleh pihak media bahawa kanak-kanak berkenaan bersama ahli keluarga telah pergi untuk mandi manda di Titi Hayun, Salak Denai, Yan Kedah, dua belas (12) hari sebelum kejadian.

Sehubungan itu, jabatan ini mengesahkan kejadian berkenaan di mana kanak-kanak tersebut telah di masukkan ke wad rawatan rapi atau ICU (Intensive Care Unit) Hospital Sultanah Bahiyah pada 3 Disember 2014. Kanak-kanak tersebut dimasukkan ke wad disebabkan demam panas dan sawan. Beliau telah dirawat oleh Pakar Kanak-Kanak dengan rawatan sewajarnya diberikan termasuk rawatan antibiotik dan antiviral. Disebalik rawatan rapi yang diberikan, beliau tidak menunjukkan tindak balas yang memuaskan dan telah meninggal dunia pada 5 Disember 2014 jam 11.27 malam.

Pemeriksaan dan ujian awal makmal Hospital Sultanah Bahiyah menunjukkan kemungkinan kejadian ini disebabkan oleh jangkitan leptospirosis atau penyakit kencing tikus. Hospital Sultanah Bahiyah dalam tindakan menghantar sampel darah untuk dibuat ujian pengesahan jangkitan leptospirosis di makmal Institut Penyelidikkan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur. Pihak hospital turut menjalankan ujian untuk demam denggi, dan keputusan awal adalah negatif.

Berdasarkan keputusan di atas, jabatan ini melalui Pejabat Kesihatan Daerah Yan dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah diarah untuk menjalankan siasatan lanjut.

Untuk makluman, tindakan-tindakan yang diambil adalah seperti berikut;

1. Tanda amaran waspada kepada jangkitan penyakit leptospirosis telah diletakkan di tempat-tempat rekreasi air bagi Negeri Kedah. Bagi lokasi di mana punca kejadian ini disyaki iaitu, Titi Hayun, tanda amaran berkenaan telah didirikan semula pada dua (2) minggu yang lalu, setelah papan tanda yang diletakkan sebelum ini dirosakkan.

2. Pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah akan membuat siasatan terperinci ke atas ahli keluarga berkenaan untuk memastikan tahap kesihatan ahli keluarga dalam memastikan mereka diberikan rawatan sewajarnya.

3.Jabatan ini tidak akan melaksanakan tindakan penutupan pusat rekreasi air berkenaan memandangkan penyakit leptospirosis merupakan jangkitan zoonotik iaitu haiwan liar dalam persekitaran terbuka yang sentiasa akan mendedahkan pusat-pusat rekreasi kepada risiko penyakit tersebut. Namun pengunjung harus sentiasa mematuhi nasihat sepertimana digariskan untuk mengelak jangkitan berdasarkan tanda amaran yang diletakkan.

Nasihat jabatan ini kepada orang ramai yang mengunjungi pusat-pusat rekreasi air untuk mengambil langkah-langkah berikut;

1. Individu yang mempunyai faktor risiko seperti penyakit diabetes (kencing manis), penyakit paru-paru kronik, penyakit buah pinggang atau penyakit lain yang merendahkan daya tahan badan (imuniti) adalah TIDAK digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat rekreasi seperti ini. Ini kerana golongan ini adalah lebih berisiko untuk mendapat jangkitan.

2. Elakkan diri dari bermain air atau bermandi manda di sungai atau kolam jika terdapat luka atau kudis di kulit. Jika masih juga terpaksa terdedah kepada air, tutup luka atau kudis tersebut dengan sempurna dengan plaster yang kalis air.

3. Pengunjung ke pusat rekreasi adalah dinasihatkan untuk menggunakan bekalan air yang selamat untuk minum atau membasuh makanan dan peralatan. Jika tiada bekalan selamat disediakan, pengunjung hendaklah membawa bekalan air sendiri.

4. Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan jika mendapat gejala demam, sakit kepala, sakit otot, loya atau muntah, dalam tempoh dua (2) minggu dari tempoh mengunjungi tempat‐tempat rekreasi (seperti kawasan air terjun, air sungai, tasik, kolam).

5. Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bagimengelakkan kehadiran perumah haiwan khususnya tikus dan meningkatkan risiko pencemaran dengan bakteria berkenaan. Sampah sarap dan sia‐sisa makanan yang tidak dilupuskan secara sempurna mengundang kehadiran haiwan ini.


Dato’ Dr. Norhizan Bin Ismail
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah
6 Disember 2014 @ 4.30 ptg
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kenyataan Pengarah Kesihatan Kedah Mengenai Kematian Amirah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top