Latest News

Tuesday 19 May 2015

ASEAN Perlu Beri Tekanan Kepada Myanmar - Tun M



ASEAN perlu memberi tekanan kepada Myanmar berikutan tindakan kerajaan negara itu yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap kaum Rohingya sehingga mereka terpaksa lari mencari perlindungan di negara lain.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa ASEAN segera mengadakan mesyuarat tergempar sekurang-kurangnya di peringkat Menteri Luar supaya satu keputusan dibuat berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, masalah Ro­hingya kini bukan lagi isu dalaman Myanmar sebaliknya telah menjadi isu luaran apabila turut melibatkan negara-negara anggota ASEAN yang lain termasuk Malaysia.

“ASEAN perlu tekan Myanmar kerana ini merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Mereka (Rohingya) rakyat Myanmar dan mereka telah berada di negara tersebut beratus tahun.

“Oleh itu tidak sepatutnya mereka (Rohingya) dibunuh, rumah mereka dibakar selain menerima pelbagai tindakan lain. Sekiranya mereka tidak diperlakukan sedemikian kaum Rohingya ini tidak akan lari. Oleh itu patut diadakan mesyuarat tergempar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penderitaan yang dialami oleh kaum Rohingya akibat menjadi mangsa penindasan sehingga terpaksa melarikan diri ke negara-negara lain.

Terdahulu Dr. Mahathir telah melancarkan buku bertajuk Dr. Mahathir's Selected Letters to World Leaders Volume Two susunan Tan Sri Abdullah Ahmad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, dalam situasi sekarang isu melibatkan Rohingya itu perlu tindakan segera kerana telah membabitkan kepen­tingan negara-negara lain.

“Malaysia mempunyai hak dalam isu ini. Masalah tersebut sepatutnya tidak boleh berlaku kerana Rohingya merupakan rak­yat mereka sendiri (Myanmar),” ujarnya.

Seperkara lagi beliau berkata, penganut Buddha dikatakan begitu bertimbang rasa dan bukannya golongan yang gemar membunuh tetapi keadaan yang berlaku di Myan­mar itu adalah sebaliknya.

“Tindakan yang diambil oleh orang Myanmar ini cukup zalim. Saya kenal dengan pemimpin-pemimpin Myanmar tetapi kenal tak kenal pun perkara yang baik harus kita puji tetapi perkara yang tidak baik adalah sebaliknya.

“Dahulu kita pernah membantu pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi namun kita dapati dia tidak ambil berat langsung tentang nasib Rohingya. Itulah, tiada makna menerima Hadiah Nobel,” ujar beliau.
Utusan Malaysia
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: ASEAN Perlu Beri Tekanan Kepada Myanmar - Tun M Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top