Latest News

Saturday 2 September 2017

Merdekakah Kita? #SelamatkanMalaysia - @MukhrizMahathir



Oleh Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir


1. Di musim perayaan Hari Merdeka yang ke-60 ini, saya terfikir mengenai apa yang benar-benar membanggakan kita, Rakyat Malaysia, mengenai negara kita ini, dan negara yang macam mana yang hendak diwariskan kepada anak cucu kita.

2. Tentulah antara yang membanggakan ialah bagaimana sebuah negara yang dijajah selama 446 tahun mampu mencapai kemerdekaan dari si-penjajah yang merupakan kuasa dunia yang besar dan baru memenangi Perang Dunia Kedua. Kita berasa bangga kerana ini berjaya dilakukan oleh nenek moyang kita melalui kesepakatan di kalangan penduduk berbilang negeri yang diterajui oleh kepimpinan yang bijaksana. Pemimpin-pemimpin hebat kita itu telah menggunakan diplomasi bagi meyakinkan British supaya setuju membatalkan




Pegawai British zaman penjajahan Tanah Melayu

segala hasrat awal untuk mengukuhkan genggaman mereka terhadap tanah jajahan mereka ini. Jelas bahawa wujud semangat dan iltizam yang kental di kalangan seluruh penduduk Malaya ketika itu untuk melihat sebuah negara baharu terbentuk.

3. Turut membanggakan ialah keupayaan kita untuk mengisi kemerdekaan itu. Bayangkan bagaimana dari menjadi sebuah negara yang bergantung kepada hasil tani, itupun tanpa banyak teknologi pertanian yang mampu meningkatkan pengeluaran pertanian, berubah menjadi sebuah negara yang mengeluarkan produk berteknologi tinggi untuk pasaran dunia.




Kilang wafer fab Silterra di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah

Dalam proses mengindustrikan negara, manfaatnya dirasai oleh Rakyat dari setiap lapisan masyarakat. Malaysia digelar Harimau Asia yang mempunyai halatuju yang jelas, momentum ke arah kejayaan yang dilakar meyakinkan warga kita serta dunia.

4. Di kala negara membangun dan rakyatnya membina jatidiri yang utuh, Malaysia tidak mengalihkan pandangannya dari kesengsaraan yang dirasai insan sejagat. Atas rasa simpati dan demi kemaslahatan sejagat, Malaysia berpendirian tegas mengenai pelbagai isu antarabangsa.




Suara Dunia Ketiga di Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu

Isu apartheid di Afrika Selatan dan penjajahan regim Zionis Israel di bumi Palestin lantang dikritik di persada dunia, seolah-olah kita sendiri yang menjadi mangsa ketidakadilan dan penindasan itu. Malah penglibatan sulit Malaysia dalam membantu Bosnia-Herzegovina menentang keganasan Serb juga akhirnya terbongkar setelah kawasan bekas Yugoslavia itu kembali aman.




Menyelamatkan Rakyat Bosnia

Seantero dunia menghormati Malaysia, meskipun ianya sebuah negara kecil, namun suaranya besar dan lantang dalam membela nasib Dunia Ketiga.

5. Pendek kata, walaupun kita bukan salah satu kuasa besar di dunia, namun warga yang bergelar Rakyat Malaysia mampu duduk dan berdiri setara dengan bangsa-bangsa yang lebih maju dari kita. Hormat dan segan adalah sifat yang menyanjungi kita bila kita, rakyat dari sebuah negara kecil di Asia Tenggara, menjelajah ke pelusuk dunia dan bergaul dengan warga asing.

6. Namun semua itu sudah berubah. Seolah-olah dalam sekelip mata semua yang membangkitkan rasa bangga kita hilang begitu sahaja. Sistem pendidikan kita kurang berjaya memupuk perpaduan di kalangan Rakyat berbilang kaum dan agama. Malah, sebahagian ahli politik juga sering menggunakan isu perkauman dan agama semata-mata untuk meraih sokongan. Ekonomi kita di tahap yang sangat membimbangkan sehingga hasil negara merudum dan mulai membebankan Rakyat. Akibatnya, nilai matawang Ringgit Malaysia menjunam ke paras yang merugikan negara.





Kos sara hidup meningkat

Rata-rata Rakyat semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat hingga ke tahap yang tidak munasabah manakala peluang pekerjaan tidak mencukupi apatah lagi longgakan pekerja asing menambahkan parahnya. Bukan itu sahaja yang merunsingkan Rakyat; harga rumah melambung jauh melebihi kemampuan, tiada wang lebihan untuk simpanan sehinggakan terpaksa berhutang untuk menyara hidup, pembayaran cukai GST yang membebankan, dan macam-macam lagi yang menjejas kesejahteraan hidup kita.

7. Lebih teruk lagi apabila pemimpin negara tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Mandat yang diberi oleh Rakyat disalahguna, malah dianggap sebagai hak mutlak untuk diperlakukan sesuka hati. Institusi Kerajaan yang diharapkan turut diperkosa untuk mempertahankan kemungkaran.




Skandal pengubahan wang haram terbesar di dunia

Rasuah menjadi cara hidup kepimpinan tertinggi negara sehingga menjadi ikutan di peringkat bawah. Jelas sekali, keadaan ini hanya akan mengundang mudarat dan bahaya yang besar bagi Rakyat Malaysia keseluruhannya.

8. Di kala rakyat bergelut untuk hidup dan kepimpinan bergelumang dengan kemungkaran, maka mahu atau tidak, kita perlu bertanya; negara yang macam mana yang hendak kita wariskan kepada anak cucu kita? Adakah negara yang berdiri teguh di atas prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, atau yang mana pemimpin Kerajaannya menunjukkan teladan yang paling buruk dalam memperlekehkan undang-undang negara? Adakah kita mahu negara yang dasar luarnya sentiasa mengutamakan kepentingan Rakyat, atau yang akan mengakibatkan kebergantungan negara kepada kuasa-kuasa asing yang akan menggunakan kita dalam percaturan politik serantau sehingga boleh menyebabkan kedaulatan negara kita tergadai?

9. Adakah kita sanggup melihat segala yang kita perjuangkan, segala yang kita korbankan berderai begitu sahaja untuk memenuhi nafsu dan haloba kepimpinan negara yang hanya mementingkan diri sendiri? Sepertimana ayah dan ibu kita mewariskan kepada kita sebuah negara yang mampu memenuhi segala harapan, tidakkah kita juga mahu menjamin masa depan anak cucu kita?

10. Di bulan Merdeka ke-60 ini, tatkala kita bangga dengan kecemerlangan zaman silam, tidak dapat tidak kita runsing dengan keadaan semasa dan lebih penting lagi impaknya kepada masa depan negara. Sambil kita meraikan Hari Kemerdekaan kita tahun ini, tentunya terlampau banyak persoalan yang berlegar di dalam benak hati kita.

11. Merdekakah kita jika segala perjuangan kita belum tentu menjamin kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat kita? Merdekakah kita jika satu demi satu hak kita dirampas untuk memenuhi kehendak sebilangan warga asing yang tidak mengendahkan segala yang telah kita korbankan selama ini?



Pelabur asing membeli hartanah hak milik kekal Malaysia

Merdekakah kita kalau walaupun negara tidak dijajah dengan tentera, tetapi kepimpinan negara yang salahguna kuasa membuka pintu kepada penjajahan alaf baru tanpa tindakan militari? Adakah rasional kepercayaan sesetengah di antara kita bahawa segala kepentingan negara tidak akan tergadai walaupun kepimpinan negara mengamalkan budaya rasuah?

12. Saya sangat yakin bahawa Rakyat Malaysia sedar mengenai keadaan bahaya yang sedang kita hadapi ketika ini. Kita juga sedar bahawa kalau kita berpeluk tubuh sambil mengharapkan orang lain akan menyelamatkan keadaan, maka kita akan ditimpa musibah dan rasa kesal yang tiada sudahnya. Tentunya kita, Rakyat Malaysia, mahukan negara kita terus aman, damai, sejahtera lagi makmur. Malaysia punyai potensi besar untuk mencapai kegemilangan yang dituju kalau sama-sama kita menolak semua unsur-unsur yang menggagalkan segala perancangan kepimpinan terdahulu yang berwibawa. Kalau kita dituntut untuk mengeratkan perpaduan di kalangan seluruh Rakyat Malaysia, biarlah kita bersatu padu untuk menolak kemungkaran, dan bersatu padu untuk beramal makruf.




Masa depan Malaysia, pewaris perjuangan


13. Pada Hari Merdeka ini, sambil merenung wajah anak kita, bernekadlah untuk menyerahkan masa depan yang cerah lagi gemilang kepadanya. Bersamalah kita menyelamatkan Malaysia yang kita sayangi ini.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60, Malaysia!Oleh Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Merdekakah Kita? #SelamatkanMalaysia - @MukhrizMahathir Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top