Latest News

Sunday 6 May 2018

Tanah bertuah yang diancam perasuah



Teringat kata-kata arwah nenek saya, Halimah. Allayarhamah menceritakan kisah ayahnya - moyang saya - seorang ulama terkenal Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua. Penduduk tempatan memanggilnya Maulana Tok Khurasan.

Menurut cerita nenek saya, satu hari Tok Khurasan makan sejenis buah, bijinya dibuang ke tanah. Tidak lama selepas itu, tumbuh pokok buah tersebut daripada biji yang dibuang oleh moyang saya itu.

Maka Tok Khurasan berkata kepada nenek saya: "Halimah, negara kamu ini bertuah sungguh, subur betul, tidak seperti negara asal aku di Afghanistan. Di sana, buanglah apa jenis biji buah pun di atas tanah, ia sukar untuk tumbuh".

Itulah sedikit perkongsian kisah daripada mereka yang terdahulu, untuk menggambarkan betapa Allah merahmati Tanah Melayu ini yang kini dikenali sebagai Malaysia.

Negara kita secara relatifnya tiada bencana alam berskala besar yang boleh meragut ribuan nyawa atau perang saudara jangka panjang hingga menghalang kemajuan.

Namun rahmat serta tuah ibu pertiwi kita ini sering kali diancam oleh keputusan dan perbuatan manusia korup yang berada di tampuk kekuasaan.

Menelusuri sejarah rantau ini, Nusantara tidak sunyi dengan turun naiknya pemerintah yang terpesong lagi zalim.

Dari zaman Raja Bersiong di Kedah yang dahagakan darah rakyatnya, kekejaman itu mengalir ke era Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Melaka yang terkenal sadis membunuh keluarga Bendahara Tun Mutahir, hingga kepada peristiwa sultan Mahmud Shah II mangkat dijulang di Johor Lama.

Contoh demi contoh, teladan demi teladan telah ditunjukkan Tuhan kepada umat Melayu bahawa kekejaman pemerintah bukan saja boleh mencetuskan kebangkitan atau pemberontakan rakyat, tetapi juga mengakibatkan negara terjerumus kepada penjajahan kuasa luar.

Kekejaman pemerintah secara nyata seperti membunuh rakyat tidak berdosa secara bebas mungkin jarang berlaku kini. Pada zaman sekarang, ia terjadi dalam bentuk penindasan sosioekonomi akibat dari korupsi moral serta wang ringgit.

Apabila kerosakan sistem semak dan imbang kerajaan mencapai tahap serius, hingga mengancam nyawa dan masa depan rakyat, maka bangkitlah satu persatu wira rakyat yang selama ini mungkin hanya memerhati drama politik nasional dari jauh.


Antara insan tersebut ialah Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kedua allayarham mursyidul am PAS yang terkenal. Hati beliau tergerak untuk bersama satu saf dengan rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memulihkan negara ini ke landasan yang sepatutnya.

Ustaz Nik Omar menggunakan pendekatan dakwah lembut ala Tok Kenali, seorang ulama legenda Tanah Melayu dari Kelantan suatu ketika dahulu.

Beliau menjunjung kalimah Islam itu rahmat sekalian alam, berlapang dada menghadapi kepelbagaian pilihan rakyat, dan tenang dalam menerangkan situasi politik semasa kepada hadirin yang terdiri dari pelbagai latar-belakang bangsa, agama dan status sosial.

Beliau mempunyai pandangan rasional bahawa perubahan dalam negara ini tidak mungkin berjaya tanpa gabungan semua lapisan masyarakat.

E
kspresi bukan Muslim

Apakah yang lebih tinggi daripada pemerintah jika bukan Tuhan? Maka kerana itulah Rukun Negara kita ada menyebut kepercayaan kepada Tuhan.

Di negara ini, tidak semestinya seseorang itu perlu beragama Islam untuk dianggap percaya kepada Tuhan.

Maka saya faham apabila calon HARAPAN Segambut dari DAP, Hannah Yeoh, menjelaskan bahawa dirinya difitnah dan disalah erti oleh pihak tertentu hanya kerana menjadikan agama Kristian anutannya sebagai motivasi diri untuk menjadi wakil rakyat yang adil, berintegriti dan takut kepada Tuhan.

Seolah-olah menjadi satu jenayah di negara ini apabila warga Bukan Muslim meluahkan pegangan agama selain Islam secara tulisan atau perkataan, walaupun tanpa ada unsur-unsur untuk memprovokasi apatah lagi bermusuhan dengan Islam.

Sedangkan jika di Timur Tengah, Muslim dan Kristian hidup berdampingan dalam keadaan secara relatifnya harmoni sejak zaman Rasulullah lagi. Sesungguhnya jauh lebih baik Bukan Muslim yang takutkan Tuhan mereka berbanding orang yang mengaku Muslim tetapi tanpa segan silu korup, zalim dan angkuh.

MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tanah bertuah yang diancam perasuah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top